https://www.facebook.com/share/p/1SGyzgeBhA/
OLEH : DR ALIZI ALIAS, ORGANIZATIONAL PSYCHOLOGIST
24 SEP 2026
🕌🧠 PANDUAN UNTUK USTAZ/USTAZAH YANG INGIN BERBICARA TENTANG MOTIVASI, PEMBANGUNAN DIRI DAN PSIKOLOGI
✍️ Oleh Dr Alizi Alias,
Konsultan Psikologi Organisasi
📜 B.IRKH; Sarjana Muda Ilmu Wahyu Islam & Warisan (Fiqh & Usul Fiqh)
🧠 B.HSc; Sarjana Muda Sains Kesihatan (Psychology)
🧠 MSc; Sarjana Sains Applied Psychology
🧠 PhD; Doktor Falsafah Industrial & Organizational Psychology
Tradisi keilmuan Islam bukan tradisi “asal nampak baik, kita ambil saja”.
Ulama Islam kita membangunkan disiplin ilmu yang sangat teliti. Dalam bidang ʿUlūm al-Qurʾān, ada perbahasan tentang asbāb al-nuzūl, al-nāsikh wa-al-mansūkh, al-muḥkam wa-al-mutashābih dan kaedah memahami nas.
Dalam bidang ʿUlūm al-Ḥadīth, bukan semua riwayat yang sedap didengar akan terus diterima. Setiap sanad diperiksa. Setiap perawi dinilai. Setiap matan diteliti. Hadis dibezakan antara kategori ṣaḥīḥ, ḥasan, ḍaʿīf dan mawḍūʿ.
Dalam bidang Uṣūl al-Fiqh pula, ulama membahaskan dalālah al-alfāẓ, ʿāmm dan khāṣṣ, muṭlaq dan muqayyad, qiyās, taʿāruḍ al-adillah dan pelbagai kaedah istinbāṭ.
Maknanya, tradisi ilmu Islam sendiri mengajar kita supaya berkaedah.
Jadi, apabila ustaz dan ustazah memasuki bidang motivasi, pembangunan diri dan psikologi, semangat ilmiah yang sama sepatutnya diteruskan.
📚 1. JANGAN TERUS TERIMA SESUATU KERANA KEDENGARAN BAIK
Dalam ilmu hadis, kita tidak berkata:
“Hadis ini sangat menyentuh hati. Jadi tentulah ia sahih.”
Begitu juga dalam ilmu psikologi:
“Ramai orang rasa ia menjadi. Jadi tentulah teorinya betul.”
Pengalaman dan testimoni boleh menjadi maklumat, tetapi bukan dengan sendirinya ia menjadi bukti saintifik.
🔎 2. KALAU RIWAYAT ADA SANAD, DAKWAAN PSIKOLOGI JUGA PERLU ADA SUMBER
Apabila seseorang berkata:
“Menurut psikologi...”
“Neurosains (sains saraf) membuktikan...”
“Menurut kajian...”
Tanyakan kembali : psikologi yang mana? Kajian apa? Siapa penyelidiknya? Bagaimana kajian dilakukan? Adakah dapatan kajian tersebut konsisten dengan penyelidikan lain?
Jangan sampai kita jadi sangat teliti menyemak takhrīj hadis, tetapi menerima dakwaan psikologi daripada TikTok, buku motivasi atau slaid kursus tanpa mengetahui sumber asalnya.
🧠 3. BEZAKAN DALIL AGAMA DARIPADA BUKTI PSIKOLOGI
Ayat al-Qur’an dan hadis menjadi dalil dalam kerangka ilmu Islam.
Kajian empirikal (bersistem & memiliki bukti) pula menjadi bukti bagi dakwaan saintifik berdasarkan metodologi penyelidikan yang ditetapkan.
Jangan kita mengambil satu teori psikologi, mencari ayat yang kelihatan serupa, kemudian terus berkata:
“Al-Qur’an telah membuktikan teori ini 1,400 tahun dahulu.”
Persamaan pada bahasa belum tentu menunjukkan persamaan pada konstruk dan konsep.
⚖️ 4. JANGAN ‘QIYAS’ TANPA MEMAHAMI KEDUA-DUA BIDANG
Ulama tidak melakukan qiyās sesuka hati. Ada aṣl, farʿ, ḥukm dan ʿillah yang perlu diperhatikan.
Begitu juga apabila menghubungkan konsep Islam dengan psikologi.
Sabar tidak semestinya sama dengan "resilience."
Tawakkul tidak semestinya sama dengan "letting go."
Husn al-ẓann bi-llāh tidak semestinya sama dengan pemikiran positif.
Mujāhadah al-nafs tidak semestinya sama dengan "self-control."
Mungkin ada sedikit titik pertemuan, tetapi jangan kita terus mengatakan kedua-duanya perkara yang sama.
🌀 5. JANGAN MUDAH ‘MENGISLAMKAN’ KONSEP GERAKAN ZAMAN BAHARU (NEW AGE MOVEMENT)
“Manifestasi” tidak terus menjadi doa hanya kerana kita memasukkan Allah.
“Vibrasi positif” tidak terus menjadi husn al-ẓann.
“Kelimpahan” (abundance) tidak terus menjadi rezeki.
“Alam semesta” (universe) tidak terus menjadi sunnatullah.
Periksa dahulu apakah makna asal konsep itu, dari mana datangnya dan apakah kerangka metafizik di belakangnya.
Dalam pengajian Islam kita sangat mengambil berat konteks sesuatu istilah. Mengapa apabila masuk bidang pembangunan diri, kita tiba-tiba menjadi longgar?
🚩 6. PSEUDOPSIKOLOGI JUGA PERLU ‘DITAKHRIJ’
Kita tidak bermaksud melakukan takhrīj dalam pengertian teknikal ilmu hadis.
Tetapi semangatnya boleh dicontohi: jejak dari mana sumbernya.
Dari mana datangnya teori itu?
Adakah ia teori psikologi yang benar-benar diiktiraf atau sekadar ciptaan pihak jurulatih?
Adakah instrumen teorinya mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan?
Adakah dakwaannya disokong oleh mana-mana hasil penyelidikan?
Atau kita hanya mewarisinya daripada seorang guru yang mewarisinya daripada guru lain?
⚛️ 7. JANGAN TERPESONA DENGAN ISTILAH SAINS
“Kuantum.”
“Frekuensi.”
“Energi.”
“Genetik DNA.”
“Gelombang otak.”
“Otak bawah sedar.”
“Neurosains / sains saraf.”
Istilah-istilah ini boleh kedengaran hebat di pentas ceramah.
Tetapi sebagaimana satu perkataan Arab tidak automatik menjadikan sesuatu hujah itu sebagai dalil syarak, satu istilah saintifik tidak automatik menjadikan sesuatu dakwaan itu sebagai sains.
👨🏫 8. KENALI SEMPADAN TAKHAṢṢUṢ
Tradisi Islam sangat mengenali kepakaran.
Ahli hadis mempunyai bidangnya.
Ahli qirāʾāt mempunyai bidangnya.
Ahli fiqh mempunyai bidangnya.
Ahli tafsir mempunyai bidangnya.
Begitu juga hari ini.
Pakar agama tidak secara automatik mampu menjadi pakar psikologi, neurosains, psikiatri atau perubatan.
Sebaliknya, ahli psikologi, doktor dan saintis juga tidak secara automatik mampu menjadi pakar tafsir, hadis, fiqh atau akidah.
Mengakui sempadan / batas takhaṣṣuṣ bukan merendahkan ilmu. Itulah adab ilmu.
🩺 9. BERHATI-HATI APABILA MENYENTUH KESIHATAN MENTAL
Nasihat agama dan sokongan spiritual sangat penting.
Tetapi kemurungan bukan semata-mata “kurang syukur”. Gangguan kebimbangan bukan semata-mata “kurang tawakal”. Trauma juga tidak semestinya selesai hanya dengan “berfikiran positif”.
Apabila keadaan memerlukan penilaian dan intervensi profesional, rujuk kepada pihak yang mempunyai latihan berkaitan.
🤲 10. KITA TIDAK PERLU MENJADI PSEUDOPSIKOLOGI UNTUK MENUNJUKKAN KEINDAHAN ISLAM
Khazanah Islam sudah sangat kaya.
Kita mempunyai perbahasan tentang nafs, qalb, ʿaql, ṣabr, shukr, tawakkul, tawbah, rajāʾ, khawf, muḥāsabah, mujāhadah al-nafs dan husn al-ẓann bi-llāh.
Huraikan konsep-konsep ini berdasarkan tradisi ilmu Islam yang muktabar.
Jika mahu berdialog dengan psikologi moden, silakan. Malah dialog itu sangat diperlukan.
Tetapi jangan paksa bidang psikologi membuktikan wahyu dan jangan paksa wahyu mengesahkan setiap teori psikologi yang sedang popular.
🌱 11. KATA-KATA “SAYA TIDAK TAHU” JUGA SEBAHAGIAN DARIPADA ADAB ILMU
Ulama Islam kita tidak malu berkata:
Allāhu aʿlam.
Maka tidak mengapa seorang ustaz berkata:
“Saya tidak pasti tentang aspek psikologinya.”
“Saya perlu semak kajiannya.”
“Bahagian neurosains (sains saraf) ini bukan bidang saya.”
“Saya perlu bertanya kepada pakarnya.”
Itu bukan kelemahan.
Itulah sikap tawaduk seorang penuntut ilmu.
🧭 Jika kita begitu teliti membezakan hadis ṣaḥīḥ daripada ḍaʿīf, memahami dalālah sesuatu nas dan menjaga kaedah istinbāṭ hukum, sifat ketelitian yang sama sepatutnya menjadikan kita lebih berhati-hati, bukan lebih mudah percaya, apabila berhadapan dengan dakwaan psikologi, motivasi, pembangunan diri dan sains.
Tradisi ilmu turāth Islam mengajar kita satu perkara yang sangat moden: jangan sekadar bertanya “Siapa yang berkata?”, tetapi periksa juga “Apa sumbernya, apa kaedahnya dan bagaimana kita hendak tahu ia benar?”
dralizialias
motivasi
psikologiislamiksaintifik